Thursday, October 27, 2011

DIALOG PROF. DR. MUHAMMAD TIJANI MUSAWI DENGAN ULAMA SUNNI

DiAlog dengan Ulama’
Aku katakan kepada seorang ulama’ kami: Apabila Muawiyah membunuh orang yang tidak berdosa dan memalukan orang yang terhormat, kamu menghukum dia sebagai telah berijtihad namun yang tersalah, dan mendapat satu pahala. Apabila Yazid membunuh keturunan Rasul Allah (saw) dan memberi kuasa menggeledah al-Madinah al-Munawwarah kepada askarnya, kamu menghukum dia sebagai telah berijtihad namun yang tersalah, dan mendapat satu pahala, sehingga sebahagian kamu juga
mengatakan bahawa "al-Husayn dibunuh oleh pedang datuknya" sebagai alasan untuk membenarkan perlakuan Yazid. Nah, mengapa pula aku tidak
boleh berijtihad melalui pengajian ini, yang telah memaksaku untuk meragui niat para sahabat dan untuk membuktikan keburukkan sebahagian dari mereka, yang tidak sama taranya dengan pembunuhan yang dilakukan oleh Muawiyah dan Yazid terhadap keluarga Nabi (saw)? Jika aku benar, aku berhak mendapat dua pahala, dan jika aku tersalah, aku hanya mendapat satu pahala. Bagaimana pun kritikanku terhadap para sahabat, bukan untuk menghina mereka atau mencaci mereka, tetapi ini adalah caranya untuk ku mencapai kebenaran, aku berharap semoga demikian.

Siapakah didalam kumpulan yang benar dan siapakah didalam kumpulan yang salah. Ini adalah tugasku dan tugas setiap muslim, dan Allah (awj) mengetahui apa yang didalam diri kita.

Ulama’ itu kemudian menjawab, "O anakku, Ijtihad [penghuraian bagi agama Islam] telah tidak diizinkan untuk sekian lama"


Aku bertanya, "Siapa yang menutupnya?"
Dia berkata, "Imam madzhab yang empat".

Aku berkata, "Syukur kepada Allah! Oleh kerana bukan Allah yang menghalangnya, mahupun pesuruhNya (saw), atau pun khalifah yang empat, yang mana kita diarahkan untuk mengikutinya, maka tidak ada halangan pada saya untuk berijtihad, sabagaimana mereka dahulu lakukan".

Dia berkata, "Kamu tidak boleh berijtihad melainkan jika kamu mengetahui tujuh belas cabang ilmu pengetahuan, diantaranya ialah: Tafsir, Lughah, Nahu, syarf, Balaghah, Hadith, Sejarah dan lainnya".

Aku menyampuk dengan berkata, "Ijtihad saya bukan untuk menunjukkan kepada manusia tentang hukum al-Quran dan Hadith nabi (saw), atau untuk menjadi imam kepada Mazhab yang baru. Bukan! Cuma yang saya ingin tahu adalah siapa yang benar dan siapa yang salah. Sebagai contoh, untuk mengetahui sama ada Imam Ali yang benar atau Muawiyah, saya tidak perlu untuk menguasai ketujuh belas cabang ilmu pengetahuan. Apa yang perlu saya lakukan adalah mengkaji corak hidup dan perbuatan setiap dari mereka untuk mengetahui yang benar".



Dia berkata, "Mengapa engkau mahu mengetahui semua itu?" "Ini adalah umat yang telah lama pergi; mereka akan mendapati apa yang mereka kerjakan, dan kamu akan dapati apa yang kamu kerjakan, dan kamu tidak akan dipanggil untuk menjawab apa yang mereka lakukan" [ 2:134] Aku bertanya, "Bagaimana anda membacanya. Apakah La Tusaloon (kamu tidak akan diminta pertanggungjawaban) atau La Tas-aloon (jangan kamu tanya)".

Dia menjawab, "Tentu La Tus-aloon".

Aku berkata: Alhamdullilah. jika ayat tersebut dibaca dengan La Tasaloon maka di sana kita dilarang supaya tidak membuat penelitian. Namun kerana ianya ditulis dengan La Tus-Aloon, maka ianya bermaksud bahawa Allah (awj) tidak akan menghisab kita untuk atas apa yang mereka lakukan. Dan ini sesuai dengan firman Allah (awj), "Setiap diri bertanggungjawab atas apa yang diusahakannya" [74:38]. Dan juga Dia berfirman, "Dan bahawa seorang manusia tidak memperolehi melainkan apa yang diusahakannya" [53:39]

Dan Quran yang suci mengesa kita untuk mengetahui umat yang terdahulu, dan untuk mengambil pengajaran dari sejarah mereka.Allah telah memberitahu kita mengenai Firaun, Haman, Namrud, Quaroon, dan mengenai nabi-nabi terdahulu serta pengikut-pengikut mereka, bukan hanya untuk hiburan, tetapi untuk menunjukkan kepada kita apa yang haq dan apa yang batil.

Dan untuk pertanyaan anda, mengapa saya ingin mengetahui semuanya itu? Kerana ianya amat penting bagi saya untuk mengetahui semuanya itu.

Pertama, untuk mengetahui siapa dia wali Allah, supaya saya dapat mewila' (setia) mereka, dan untuk mengetahui siapa dia musuh-musuh Allah, supaya saya harus menentangnya, dan itulah permintaan Quran, atau pun kewajipan yang dipikulkan kepada kita.

Kedua, adalah amat mustahak bagi saya untuk mengetahui bagaimana saya harus menyembah Allah [bersolat] dan menghampirkan diri kepadaNya dengan semua fardhu yang diwajibkanNya, seperti cara yang Dia (awj) inginkan kita lakukan, bukan sebagaimana Malik atau Abu Hanifah atau sesiapa saja mujtahid-mujtahid yang lain. Aku dapati bahawa Malik tidak memilih bacaan Basmallah(Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi amat mengasihani) semasa solat, sedangkan Abu Hanifah menganggapnya sebagai sesuatu yang wajib.Yang lain mengatakan solat tidak sah tanpanya. Kerana solat adalah tiang agama, jika diterima amalan lain akan diterima; tetapi jika ianya ditolak, amalan lain akan ditolak. Makanya aku tidak mahu solatku ditolak. Shiah mengatakan bahawa semasa wudu’ kita hendaklah menyapu kaki dengan tangan kita yang basah, sedangkan Sunni berkata bahawa kita hendaklah membasuhnya. Tetapi apabila kita membaca Quran kita dapati, "Sapu tangan dan kaki kamu" ini adalah nyata mengenai sapu. Jadi bagaimana tanggapan tuan - anda inginkan seorang Muslim yang berfikiran rasional menerima pendapat yang satu sementara menolak yang lain tanpa suatu penelitian dan kajian?"

Dia berkata, "Kamu boleh mengambil apa yang kamu suka dari setiap kepercayaan, kerana kesemuanya adalah kepercayaan Islam, dan kesemuanya datang dari Rasul Allah (saw)" Aku berkata, aku takut akan menjadi salah satu dari golongan yang Allah nyatakan:"Maka adakah kamu lihat orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya, kerana mengetahui, dan menutup pendengaran dan hatinya dan adakan tutupan diatas pemandangannya. Siapa yang dapat menunjukkinya sesudah Allah?

Tidakkah kamu mengambil pelajaran?" [45:23]

Wahai tuan, saya tidak fikir bahawa keempat-empat Mazhab di dalam Islam itu betul, selagi satu darinya menghalalkan sesuatu sedangkan yang lain mengharamkannya; dan ia tidak boleh di terima akal bahawa suatu yang sama diperbolehkan dan ditegah pada masa yang sama. Rasul Allah (saw) tidak pernah berdebat dahulu sebelum menghuraikan hukum ahkamnya, kerana ianya adalah wahyu dari al-Quran.Allah berfirman:"Dan jika sekiranya al-Qur'an itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka akan dapati ikhtilaf (pertentangan) yang banyak di dalamnya" [4:82] Oleh kerana terlalu banyak pertentangannya diantara keempat-empat Mazhab di dalam Islam, maka ianya bukanlah dari Allah (awj) atau dari RasulNya (saw), kerana Rasul [saw] tidak mungkin bertentangan dengan al-Quran. Apabila ulama’ (shaykh) itu mendapati penerangan saya logik (boleh diterima akal) dan nyata, dia berkata, "Saya nasihatkan awak, demi kerana Allah, bahawa bagaimana pun sekali keraguan awak, janganlah meragui keempat-empat khalifah rashidin, kerana mereka adalah keempat-empat tiang Islam, jika satu darinya runtuh, maka seluruh bangunan akan runtuh"

Aku berkata, "Astagfirullah. Tuan, jika mereka adalah tiang agama maka bagaimana pula dengan Rasul Allah (saw)?" Dia berkata, "Rasul Allah (saw) itu adalah bangunannya, baginda adalah Islam keseluruhannya" Saya tersenyum apabila saya mendengar penilaian ini, dan berkata, "Astagfirullah. Hai tuan, tanpa anda sedari tuan telah mengatakan bahawa Rasul Allah (saw) tidak dapat berdiri tanpa sokongan dari mereka berempat, sedangkan Allah (awj) berkata: Dia yang mengutuskan rasulNya dengan petunjuk dan agama yang hak, supaya agama itu mengalahkan semua agama. Dan Allah cukup menjadi saksi" [48:28]


Dia mengutus Muhammad dengan pengkhabaran dan tidak melibatkan mana-mana yang empat itu, atau sesiapa pun, dan dalam hal ini Allah berfirman: Sebagaimana kami telah menghantar diantara kamu seorang rasul yang akan membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, membersihkan kamu dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada kamu dan apa-apa yang kamu belum tahu" [2:151]

Dia berkata, "Inilah yang kami telah pelajari dari guru agama kami dahulu, dan kami tidak mempertikaikan mengenai apa yang telah diajari kepada kami oleh mereka, sebagaimana kamu generasi baru sekarang. Kamu meragui segalanya, termasuk agama itu sendiri. Ini adalah di antara tanda-tanda Hari Kiamat. Rasul Allah (saw) bersabda: Hari Kamat tidak akan muncul melainkan pada zaman makhluk yang paling jahat".

Aku berkata, "Tuan, mengapa mesti marah. Aku berlindung kepada Allah daripada sikap ragu terhadap agama atua membuat keraguan di dalamanya. Aku beriman kepada Allah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, kepada malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan semua RasulNya. Aku beriman bahawa Sayyidina Muhammad adalah hamba dan RasulNya dan rasul yang terakhir, dan bahawa aku adalah seorang Muslim. Jadi bagaimana anda menuduh saya dengan semua itu?"

Dia berkata, "Saya patut menuduh anda dengan yang lebih dari itu, kerana kamu meragui Sayyidina Abu Bakar dan Umar. Sedangkan Rasul Allah (saw) yang suci bersabda: Jika keimanan ummatku dan keimanan Abu Bakar diletak diatas neraca, adalah keimanan Abu Bakar itu lebih berat timbangannya. Rasul (saw) juga berkata sebagai penghormatan kepada Umar: Aku pernah ditunjukkan kepada ummatku, dan setiap mereka memakai baju yang panjang tetapi tidak sampai menutup dada, dan aku ditunjukkan kepada Umar dan dia sedang mengheret bajunya.

Sahabat bertanya: apa takwilnya (tafsirnya) wahai Rasulullah? Nabi menjawab: Agama. Tiba-tiba kamu datang hari ini, didalam abad keempat belas [hijri] dan meragui kebenaran para sahabat dan terutama Abu Bakr dan Umar. Tidakkah kamu ketahui bahawa penduduk Iraq, adalah manusia
yang berpecah belah, kafir dan munafik!"

Apa yang boleh aku katakan kepada orang ini, yang mengaku berpengetahuan dan ulama ini. Majlis yang tadinya berjalan dengan cara perdebatan yang baik kini berubah menjadi semacam tuduhan dan luahan emosi di hadapan sekumpulan hadirin yang mengkaguminya. Aku lihat bahawa wajah-wajah mereka merah dan mata-mata mereka terbeliak menunjukkan sikap protes. Tiada cara lain, aku segera pergi ke rumah dan mengambil kitab al-Muwatta karya Imam Malik dan kitab Sahih al- Bukhari. Kemudian aku katakan kepadanya, "Tuan, apa yang membuat aku meragui Abu Bakar adalah Rasul Allah (saw) itu sendiri".

Lalu aku membuka al-Muwatta dan membaca suatu riwayat yang bermaksud Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda
kepada para syuhuda Uhud, "Aku menjadi saksi bagi mereka". Kemudian Abu Bakar bertanya, "Ya Rasulullah, tidakkah kami saudara-saudara mereka? Tidakkah kami menjadi Muslim sebagaimana mereka? Tidakkah kami berjihad sebagaimana mereka?" Rasulullah(saw) menjawab, "Ya, tetapi aku tidak tahu apa yang akan kamu lakukan sesudah aku".Setelah mendengarkan itu, Abu Bakr menangis tersedu-sedu dan berkata, "Kami melakukan banyak perkara setelah kamu pergi"[57].


Selepas itu saya membuka sahih al-Bukhari dan membaca: Suatu ketika Umar ibn al-Khattab pergi menemui Hafsah dan mendapati bersamanya Asma bint Umays. Apabila Umar melihatnya dia bertanya, "Siapakah dia?" Hafsah menjawab, "Asma bint Umays". Umar berkata, "Adakah dia orang Habsyah itu? Orang laut itu?" Asma' menjawab, "Ya". Umar berkata, "Kami berhijrah sebelum kamu, maka kami lebih berhak kepada rasul Allah dari kamu". Asma' menjadi amat marah, lalu dia berkata:

"Tidak demi Allah, kamu berada bersama Nabi.Diberinya kamu makan, dan diajarkannya kamu; sedangkan kami dibumi asing, di Habsyah kerana Allah dan RasulNya semata-mata, dan setiap kali saya makan atau minum apa saja, saya teringat akan Rasul Allah [saw]. Kami dahulunya diganggu dan ditakut-takutkan. Demi Allah, saya akan nyatakan ini kepada Nabi dan akanku tanya tanpa aku berdusta, menambah atau mengurangkan dari duduk perkara".

Ketika Asma' datang kepada Nabi, dia bertanya,"Ya Nabi Allah, Umar nyatakan begini dan begini". Baginda bertanya, "Apa yang kamu katakana kepadanya?" Asma menjawab, "begini dan begini". Baginda menjawab, "Dia tidak lebih berhak ke atasku lebih daripada kamu". Dia dan para sahabatnya mempunyai satu hijrah, tetapi kamu, penghuni bahtera, mempunyai dua kali hijrah". Asma' berkata, "Saya mendapati Abu Musa dan kawan-kawan sekapal datang menemui saya dalam berkumpulan dan bertanya saya mengenai sabda Nabi tersebut, dan mereka merasa gembira dengan apa yang diucapkan oleh baginda terhadap mereka [58]."

Setelah selesai membacakan hadith, terlihat perubahan pada wajah ulama’ dan para hadirin, mereka saling berpandangan dan menunggu reaksi sang guru yang mati dalil. Apa yang dapat dilakukannya adalah mengangkat kening, sebagai tanda hairan dan kemudian berkata, "Katakanlah,Ya Allah, tambahkan untukku ilmu pengetahuan". Aku berkata, "Jika Rasul Allah, adalah yang pertama untuk meragui Abu Bakar, dan tidak menjadi saksi baginya, kerana rasul Allah tidak tahu apa yang akan terjadi selepas dirinya; dan jika rasul Allah tidak setuju dengan keutamaan Umar terhadap Asma bint Umays, tetapi mengutamakan Asma daripada Umar; maka ini adalah didalam lingkungan hak saya untuk meragui dan tidak mempunyai keutamaan terhadap sesiapapun sehingga kebenaran itu nampak jelas dan aku ketahui dengan pasti.. Dan jelas sekali bahawa dua hadith ini bertentangan dan menafikan segala hadith yang menyatakan keutamaan Abu Bakr dan Umar, kerana ianya lebih hampir kepada fakta yang diterima akal berbanding dengan hadith-hadith keutamaan yang diduga itu".

Para hadirin berkata, "Bagaimana maksudnya?" Aku menjawab,"Rasul Allah tidak menjadi saksi bagi Abu Bakar". Baginda bersabda: Aku tidak tahu apa yang akan mereka lakukan sepeninggalanku kelak". Ianya adalah
logik [boleh diterima akal].Sejarah telah membuktikannya, dan al-Quran yang suci dan sejarah menjadi saksi bahawa mereka telah melakukan perubahan selepas Nabi. Kerana itulah Abu Bakr menangis, kerana dia telah berubah dan membuat Fatimah al-Zahra marah, puteri Nabi marah, sabagaimana kami terangkan dahulu, dan dia berubah sehingga dia menyesal dan berangan-angan untuk tidak menjadi manusia.

Dan bagi hadith: Jika iman ummat ku dan imannya Abu Bakr diletak diatas timbangan, imannya Abu Bakr adalah lebih berat," ianya tidak betul dan tidak munasabah. Ianya tidak mungkin untuk iman seorang, yang telah menghabiskan empat puluh tahun umurnya didalam mempercayai banyak tuhan dan menyembah berhala, menjadi amat berat dari imannya segala ummat Muhammad, yang mempunyai para wali Allah yang solihin, syuhada, dan para Imam, yang menghabiskan masa hidupnya di dalam berjihad di jalan Allah SWT.Bagaimana Abu Bakr boleh sesuai dengan maksud hadith ini? Jika ianya sahih, dia tidak akan, dihari kemudiannya berangan-angan untuk tidak menjadi sebagai seorang manusia. Lebih-lebih lagi, jika keimanannya lebih tinggi dari iman Fatimah az-Zahra, pemuka wanita alam semesta (Sayyidati Nisa Fil-Alamin) maka puteri Rasul itu tentu tidak akan marah kepadanya atau mendoakan keburukan kepadanya".

Orang alim itu tidak berkata apa-apa, tetapi sebahagian dari hadirin berkata, "Demi Allah1 Hadith ini membuat kami ragu" Maka ulama’ itu berkata kepada saya, "Adakah ini yang kamu mahu? Kamu telah membuat mereka ini meragui agama mereka" Memadailah bagi saya, seorang dari para hadirin menjawab dengan berkata, "Tidak, dia benar, kami tidak pernah membaca keseluruhan buku itu didalam hidup kami, kami mengikut kamu membuta tuli dan tanpa sebarang bantahan, dan sekarang telah nampak oleh kami bahawa apa yang al-Hajj katakan adalah benar, dan adalah tugas kami untuk membaca dan menyelidik!" Mereka yang lainnya bersetuju dengan beliau, dan itu adalah kejayaan bagi kebenaran dan keadilan. Ianya bukanlah kejayaan dengan kekerasan, tetapi oleh fikiran yang logik dan pembuktian. Allah berkata, "Katakan, bawalah hujah-hujah kamu, jika memang kamu orang-orang yang benar" [27:64].

No comments:

Post a Comment